Ikuti pengalaman orang yang berjaya dalam bisnes burger ini.
SHAIPUR AZWAN ABDUL HAMID, 31, pernah berkecil hati apabila cuba mempertahankan keputusannya untuk berdikari dengan membuka gerai menjual burger dan roti john.
Masih segar dalam ingatan, dia pernah ditegur jiran, kenalan dan ahli keluarganya sendiri yang skeptikal dengan masa depan kerja tersebut. Begitupun, dia tidak pernah berjauh hati atau kecewa dengan pilihannya, lebih-lebih lagi dia kini sudah melihat pulangan hasil titik peluhnya itu.
Bapa kepada seorang anak itu percaya, pengusaha gerai yang rajin berusaha dengan jualan memberangsangkan mampu menjana pendapatan yang setaraf dengan gaji purata pekerja pejabat.
Namun, untuk mencapai objektif tersebut, banyak yang perlu Wan lalui terutamanya tentang cabaran dan selok-belok berniaga.
Pada awalnya, Wan bermula sebagai pekerja di sebuah warung dengan gaji RM10 sehari. Kesanggupan bekerja pada usia semuda 17 tahun dengan gaji yang rendah bukan suatu untuk disesalkan.
Dia sebaliknya menganggap itu merupakan peluang terbaik untuk mempelajari asas perniagaan memandangkan dia sifar pengalaman.
"Ketika kawan-kawan menyambung pengajian dan mencari kerja yang lebih 'selamat', saya pula ketika itu berkawan dengan seorang abang bernama Zulmahizam dan menjual burger bersamanya," kata Wan mengimbas memori tahun 1999 ketika berjualan di Seksyen 2, Shah Alam.
Selepas dua tahun berniaga, dia dan tuan gerainya didekati seorang chef yang sedia berkongsi tip menjadikan burger lebih lazat iaitu sos yang digunakan.
"Chef itu memberi kami tip bahawa keenakan burger terletak pada kombinasi sos cili dan mayonis yang terbaik. Jadi, kami pun mencuba kombinasi pelbagai jenis sos cili dan mayonis sehingga mendapat rasa terbaik.
Adat dalam perniagaan
Wan tidak terlepas daripada jatuh dan bangun dalam resam berniaga. Kerugian dan menanggung hutang itu lumrah. Semua itu berlaku ketika dia berhasrat membuka perniagaan sendiri.
"Saya pernah membuka restoran makanan Thai namun, ia terpaksa ditutup berikutan menanggung kerugian yang teruk," luahnya yang pernah menjual segala barangan peribadi seperti seluar jean dan kasut Timberland kesayangannya untuk memulakan perniagaan itu.
Wan tidak pernah putus asa. Berkat usaha dan kecekalan, wang RM50 pemberian abangnya dijadikan modal azimat. Dia membaiki sebuah gerai sorong yang dijumpai di tempat pembuangan barang seterusnya membeli sedikit barang mentah untuk memulakan semula perniagaan menjual burger.
"Hanya dengan empat beg roti dan dalam masa dua jam, saya berjaya mengembalikan wang RM50 kepada abang saya," ujarnya lalu meneruskan perniagaan pada hari-hari berikutnya dan menambah kuantiti jualan berikutan sambutan yang semakin bagus.
Sambil sibuk melayan pelanggan yang sudah beratur panjang menempah burger ayam, daging dan roti john, Wan memberitahu, dia sudah terbiasa dengan suasana tersebut. Jika ada tempahan secara pukal, Wan akan menggandakan operasinya.
"Kebiasaannya saya akan menjual kira-kira 150 biji burger dan 60 hingga 80 roti john. Ada hari-hari yang lebih tinggi jualan. Semuanya, memberi pulangan yang lumayan iaitu dengan untung bersih kira-kira RM200 hingga RM250 sehari," katanya yang menjalankan perniagaan dari pukul 5 petang hingga 11.30 malam.
Wan bagaimanapun taat dengan permintaan ibunya yang mengharapkan dia bekerja secara tetap. Tiga tahun lalu, dia memulakan tugas di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) manakala perniagaan gerainya diteruskan oleh isterinya, Yiska Maida Anggrani, 26.
Jika berkelapangan, Wan tetap akan menemani isterinya di gerai untuk membantu apa yang patut. Kini, mereka memiliki dua buah kereta dan dua buah motosikal hasil rezeki berniaga di tepi jalan itu.
"Persepsi orang bahawa menjual burger tepi jalan tidak akan membawa saya ke mana-mana adalah sama sekali tidak benar. Jika seseorang itu rajin, mempunyai semangat berniaga dan mahu terus maju, rezeki boleh diraih di mana-manapun," katanya yang tidak pernah lupa jasa gerai itu dalam hidupnya.
Best 9 Casinos in Las Vegas, NV (Mapyro
ReplyDeleteFind 9 Casinos in Las Vegas, NV. 부산광역 출장안마 Get 하남 출장안마 reviews, opening 경산 출장마사지 hours 강원도 출장안마 and a detailed customer ratings for casinos in Las 아산 출장마사지 Vegas, NV.